SHout






salah faham dalam pertunangan

“Eh, betul ke ko dah bertunang, bila?” Tanya Ali tiba-tiba, dengar dari mulut orang barangkali.

“Aah, baru je kelmarin aku bertunang” Jawab Abu tanpa berselindung.
“Ko serius ke ni, tak ada majlis apa-apa pun aku tengok kat rumah hang” Tanya Ali lagi.
“Iye, aku serius la ni, ingat ini perkara main-main ke, meh aku terangkan bertunang dalam konsep agama macam mana, selalu kita hanya tahu adat, jadi agama lebih tinggi daripada adat taw” Jawab Abu tenang.

Bukan main berkerut lagi Ali mendengar yang kawannya sudah bertunang.


Salah faham ketika bertunang
1. Dalam adat Melayu, apabila lelaki meminang perempuan yang sudah menjadi pilihannya, maka akan diadakan majlis pertunangan iaitu seperti kedua-dua belah pihak keluarga akan bertemu antara satu sama lain dan majlis pertukaran cincin sebagai tanda pertunangan. Ia tidak digalakkan di dalam Islam kerana ia banyak membawa kepada pembaziran, walau bagaimanapun adat tersebut masih boleh dipakai, tetapi lebih afdhal jika kita meletakkan agama di atas berbanding adat.

Di dalam Islam tidak perlu begitu, cukup sahaja lelaki menyatakan hasrat kepada perempuan yang menjadi pilihannya iaitu ‘aku ingin mengahwini kamu’, dan perempuan tersebut sedia menerima pinangan si lelaki.



2. Peminangan boleh berlaku sama ada persetujuan daripada pihak perempuan dengan berhubung si perempuan secara langsung atau pun berhubung dengan keluarga perempuan melalui orang tengah. Sekiranya ingin berhubung dengan si perempuan secara terus, maka ia dibolehkan dengan syarat si perempuan tersebut bijak dan boleh menguruskan dirinya sendiri (18 tahun ke atas mengikut uruf umum sekarang).

Tetapi sekiranya si perempuan itu dungu atau masih belum habis sekolah lagi, maka dia hendaklah mendapat persetujuan daripada ibu bapanya terlebih dahulu. Takut-takut tersilap dalam membuat pemilihan.



3. Di dalam bertunang Islam memberi kelonggaran sedikit kepada lelaki dan perempuan untuk berkomunikasi, tetapi selain daripada itu iaitu dalam konteks berkawan contohnya, Islam melarang lelaki dan perempuan berkomunikasi kecuali jika mempunyai sebab-sebab yang diizinkan oleh syara’.

Walaupun Islam memberi kelonggaran sedikit kepada lelaki dan perempuan semasa tempoh bertunang untuk kenal hati budi masing-masing, Islam masih lagi melarang pasangan tunang untuk keluar berdua tanpa ditemani oleh mahram.



4. Walaupun Islam memberi sedikit kelonggaran kepada pasangan tunang untuk berkomunikasi, mereka juga harus menjaga komunikasi mereka dengan baik seperti tidak membicarakan perkara yang lucah, perkara yang membawa kepada maksiat, perkara yang membuang masa dan tidak bermanfaat.

Jika mereka membicarakan perkara melibatkan agama seperti tazkirah, saling menasihati, saling memberi dorongan dan sokongan yang positif dan banyak lagi. Maka ia sangat-sangat digalakkan dalam persediaan ke alam rumah tangga.



5. Tidak memikirkan perkara-perkara yang negatif. Ini adalah perkara yang sangat penting dalam menjaga keharmonian ketika fatrah bertunang. Masing-masing tahu menjaga tanggungjawab diri sendiri, sebagai contoh yang saya boleh katakan jika salah seorang tidak menjaga amanah dan tidak bertanggungjawab, mungkin si lelaki atau si perempuan bermain kayu tiga atau sebagainya, maka mereka akan lebih banyak membuang masa dengan bergaduh dan risau terhadap pasangan tunang.

Bukankah ini telah merosakkan hati dan keharmonian dalam fatrah bertunang, banyak membuang masa dalam memikirkan hal yang remeh temeh. Sepatutnya masa itu sangat-sangat penting dalam membuat persediaan seperti melengkapkan diri dengan disiplin ilmu agama dan amalan. Sebab itulah agama sangat menggalakkan agar calon yang ingin berkahwin mencari pasangan yang faham agama dan baik akhlaknya.



6. Minta putus jika pasangan tunang tidak elok budi pekertinya. Perkara ini sangat penting dalam fatrah pertunangan. Berapa ramai orang yang tahu mengenai budi pekerti tunangnya yang buruk, tetapi mereka membiarkan sahaja tanpa membuat apa-apa keputusan.

Sepatutnya mereka boleh minta putus agar tidak menyesal di kemudian hari. Contohnya seperti tunang yang panas baran yang tahunya hendak memukul, tunang yang selalu tinggal solat, tunang yang tidak mahu memahami agama walaupun sudah dinasihati berkali-kali, tunang yang suka dengan maksiat, mengajak kita keluar berdua-duaan serta mengambil kesempatan, dan banyak lagi. Maka di sini kita perlu ambil perhatian yang sangat serius.




Kesimpulan

Mencari tunang yang soleh/solehah sudah menjadi kemestian kepada pasangan calon yang ingin berkahwin, Kerana perkara ini akan membawa kesan yang sangat besar selepas bergelar isteri atau suami kelak seperti hadis Nabi saw yang bermaksud:


“Apabila orang yang kamu redha agama dan akhlaknya datang meminang, hendaklah kamu mengahwinkannya. Sekira kamu tidak melakukannya, nescaya akan timbul fitnah dan kerosakan di atas muka bumi” (Riwayat Tirmizi)

“Dunia adalah bahan keseronokan dan sebaik-baik keseronokan dunia ialah perempuan yang solehah” (Riwayat Muslim)



Kebenaran hadis ini kita telah lihat keadaan dunia pada zaman kini, berapa ramai manusia yang memilih calon suami atau isteri berdasarkan nafsu dan tidak meletakkan agama serta akhlak sebagai yang utama. Maka kita sudah lihat kerosakan di sana-sini akibat dari kesilapan yang telah dilakukan. Keluarga yang di bina menjadi porak peranda.

Contohnya, tiada kebahagiaan dalam rumah tangga kerana hilang keberkatan, anak-anak yang bakal dilahirkan menjadi jahat, masing-masing suka bergaduh, keluarga yang suka kan maksiat dan pelbagai lagi masalah keluarga jika hendak disenaraikan akibat kita tidak menjaganya dari awal.

Maka di sini, Islam sangat menjaga kemaslahatan ummah iaitu dengan menjaga keharmonian rumah tangga semenjak dari pemilihan calon dari awal. Kita sudah sedia maklum bahawa tujuan perkahwinan adalah untuk menyahut seruan fitrah manusia. Setiap manusia inginkan kebahagiaan dan ketenangan dalam rumah tangga seperti firman Allah swt yang bermaksud:


“Dan di antara-antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, kasih sayang dan belas kasihan”. Arrum ayat 21.



Lagi firman Allah swt yang bermaksud:




“Mereka (isteri-isteri kamu) adalah pakaian bagi kamu dan kamu adalah pakaian bagi mereka”. Al-baqaroh ayat 117.

Ayat di atas mengibaratkan suami isteri sebagai pakaian bagi pasangannya, kerana masing-masing saling melindungi pasangannya. Sekiranya kita memilih pasangan yang buruk akhlaknya, sudah pasti dia bukan pelindung yang baik, malah menjadikan kita sebagai mangsa kezalimannya.

Wallahu a’lam.

2 comments:

  1. suka baca entry blog kamu..bermanfaat^^..teruskan..istiqamah^^

    ReplyDelete
  2. Eyaa...insyaAllAh...kau pun ,teruskan juga menulis entry yg sngt awesome tue...hehe

    ReplyDelete